Skip to main content
Berita TempatanPutrajaya

Menteri Komunikasi Digital Beri Perhatian Serius Aktiviti Penipuan, Perlindungan Data Dan Penyebaran Berita Palsu Di Media Sosial

By 5 Disember 2022Tiada komen1 minit bacaan

Laporan/foto: Zaidy Salim (Putrajaya)/JaPen

PUTRAJAYA, 5 Dis (Malaysiaaktif) – Menteri Komunikasi Digital, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil yang mula menjalankan tugas hari ini memberitahu keutamaan aktiviti penipuan akan diberi perhatian serius sebagai sebahagian daripada rancangan segera kementeriannya dan perlindungan data serta penyebaran berita palsu dan maklumat salah di media sosial.

Beliau akan mengadakan pertemuan dengan penyedia perkhidmatan media sosial bagi membincangkan isu berkaitan penyebaran maklumat palsu serta kandungan yang bersifat agresif.

Pertemuan tersebut adalah untuk membolehkan penyedia perkhidmatan media sosial bersikap lebih prihatin terhadap undang-undang negara serta menjaga keharmonian, perpaduan rakykat pelbagai bangsa.

“Saya berharap mereka akan dapat membantu kementerian ke arah usaha ini,” ahli Parlimen Pantai Dalam itu berkata demikian di sidang media selepas sesi taklimat mengenai Kementerian Komunikasi Digital yang dikendalikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Digital Datuk Sri Mohammad Mentek dan dihadiri pihak pengurusan tertinggi kementerian serta ketua-ketua jabatan.

Beliau juga telah mencadangkan untuk menubuhkan Majlis Media Malaysia setelah mendapatkan perincian berhubung perkara terbabit daripada pemain industri media khususnya persatuan wartawan.

Beliau turut memberi jaminan kebebasan media akan diberi keutamaan termasuk aspek kebajikan pengamal media di negara ini.

Turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha (Infrastruktur Telekomunikasi dan Ekonomi Digital) Ma. Sivanesan, Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Roslan Ariffin, Ketua Pengarah Jabatan Penerangan Datuk Mohd Sukari Ab Hamid dan Ketua Pengarah Penyiaran Datuk Che Roslan Che Daud.

-ZS-

Tinggalkan komen anda