Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanJohor

Penglibatan Pelbagai Agensi Meriahkan Hari Sukan Wisma Persekutuan

By 16 Disember 2022Tiada komen1 minit bacaan

Laporan/foto: Mohd Rafezan Shawal/Mohd Zahid Othman (Johor Bahru)

JOHOR BAHRU, 16 Dis (Malaysiaaktif) – Seramai 100 orang peserta yang terdiri daripada kakitangan awam pelbagai agensi dan swasta telah memeriahkan Program Hari Sukan Wisma Persekutuan, di sini semalam.

Menurut Penyelaras Program Hari Sukan Wisma Persekutuan, Azam Chuwan program yang julung kali diadakan pada tahun ini mendapat sambutan yang sangat menggalakkan dan penyertaan yang luar biasa daripada setiap jabatan yang terlibat.

“Saya tidak menyangka program seperti ini memberikan impak yang positif di samping dapat mengeratkan hubungan silaturahim antara jabatan dengan jabatan yang lain dan juga dapat memastikan kakitangan di setiap jabatan sentiasa cergas dan sihat.

“Program seperti ini kita akan teruskan pada tahun akan datang dan dijadikan salah satu program tahunan jabatan,” katanya ketika ditemui di Kompleks Sukan Negeri Johor, Larkin.

Program tersebut turut telah mendapat kerjasama daripada Jabatan Belia dan Sukan Negeri Johor, Jabatan Kesihatan Negeri Johor, Pejabat Penerangan Daerah Johor Bahru dan Ambang Wira Corporation (AWC).

Sebanyak lapan acara sukan dipertandingkan antaranya bola jaring, bola tampar, futsal, pingpong, catur, dam haji, baling damak dan karom.

-ZS-

Kongsi artikel ini di media sosial:

Tinggalkan komen anda