Laporan/foto: Suzira Zainol Abidin (Ipoh)/Bahagian Korporat SUK Perak
IPOH, 19 Dis (Malaysiaaktif) – Seramai 58 daripada keseluruhan 59 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perak mengangkat sumpah pada Mesyuarat Pertama Sidang DUN Perak ke-15, di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini pagi tadi.
Bekas Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) Perak, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid dilantik sebagai Yang di-Pertua Dewan Negeri selepas dicadangkan oleh Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad yang juga ADUN Kota Tampan dan disokong ADUN Sungkai, A Sivanesan.
ADUN Kepayang, Nga Kor Ming yang juga ahli Parlimen Teluk Intan tidak hadir kerana menghadiri persidangan Parlimen yang turut berlangsung hari ini.
Istiadat Pembukaan Rasmi Tahun Pertama, Dewan Undangan Negeri akan berlangsung esok dengan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan Raja Permaisuri Perak telah berkenan untuk mencemar duli, berangkat ke istiadat tersebut seterusnya menzahirkan titah Diraja.
Sidang DUN Perak akan berakhir pada 29 Disember ini.
-ZS-