Laporan/foto: Intan Saziana/Sunito
CAMERON HIGHLANDS, 8 Jan (Malaysiaaktif) – Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan berangkat mendengar persembahan Taklimat Penyuraian Trafik Cameron Highlands di Kea Farm, di sini baru-baru ini.
Dalam taklimat itu baginda dipersembahkan dengan dua taklimat iaitu cadangan alternatif dan menaik taraf jalan bagi mengatasi kesesakan serta pembinaan jalan pintasan di Cameron Highlands dan cadangan membina _One Way Loop_ di Kea Farm.
Baginda bertitah agar pihak berkenaan mempertimbangkan hal-hal kecemasan yang berlaku di dalam kereta seperti yang ingin melahirkan anak serta dan yang sakit.
“Pelancong dari jauh juga tidak akan berasa kepuasan bercuti sekiranya tersangkut dalam kesesakan, masa habis di jalan sahaja,” titah baginda lagi.
Baginda turut berkenan melawat tapak cadangan bagi jalan alternatif dan akan dinaik taraf serta pembinaan jalan pintasan di Cameron Highlands, diiringi Menteri Besar Pahang Datuk Sri Wan Rosdy Wan Ismail dan Ketua Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Datuk IR Ahmad Redza Ghulam Rasool.
-ZS-