Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus/Jeffrey Nian (Labuan)
LABUAN, 20 Jan (Malaysiaaktif) – Bermula dengan hobi bermain gasing akhirnya kini Punggut Matali, 67, merupakan pembuat gasing tradisi yang cukup dikenali di pulau Labuan.
Beliau yang berasal dari Kampung Tanjung Aru mula bermain gasing pada tahun 1985 dan mula berkecimpung dalam pembuatan gasing setelah belajar dari arwah sepupunya.
“Selain gasing tradisi saya juga menghasilkan gasing pangkah dan gasing borneo. Untuk sebiji gasing saya boleh siapkan dalam masa satu atau dua hari dengan bantuan mesin.
“Sudah ribuan biji gasing saya buat sejak dulu sama ada gasing untuk dimainkan atau sebagai cenderahati walaupun permintaan membuat gasing agak bermusim,” katanya semasa ditemui di rumahnya, di sini semalam.
Tambahnya, gasing tradisi perlu dibuat dari jenis kayu keras seperti kayu impas dan kayu mengaris atau tualang yang hanya boleh didapati di Sabah.
“Bagi gasing pangkah boleh menggunakan jenis kayu yang lain mengikut sukatan atau permintaan, dan harga sebiji gasing hanya sekitar RM100,”jelasnya.
Jelas Punggut, kini tiga orang anaknya boleh bermain gasing dan dua daripadanya sudah mempelajari seni pembuatan gasing.
“Saya sangat berharap agar lebih ramai anak muda tampil untuk mempelajari pembuatan gasing kerana jika penghasilan gasing dapat ditingkatkan ianya boleh menggalakkan generasi baharu belajar bermain gasing.
“Kami mendapat maklum balas yang baik semasa beberapa kali membuat promosi permainan gasing sebelum ini di mana ramai yang jumpa saya untuk menempah pelbagai jenis gasing,” kongsinya lagi yang juga pernah menjadi Juara Kejohanan Gasing Pangkah Kebangsaan pada tahun 2001.
-ZS-