Laporan/foto: Norfaizah Adnan/ Rahimah Rafiai (Kuala Lumpur)
KUALA LUMPUR, 21 Jan (Malaysiaaktif) – Bertempat di Terminal Bersepadu Selatan semalam, Ops Bersepadu dan Kempen Advokasi Keselamatan Jalan Raya bersempena Tahun Baharu Cina dilancarkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) hingga 28 Januari nanti.
Sebanyak 77 buah depoh dan 28 terminal bas utama akan diperiksa dengan pemeriksaan teknikal bas ekspres dan juga pemandu di mana saringan air kencing turut dilakukan bagi memastikan pemandu bas bebas daripada pengaruh dadah.
Timbalan Ketua Pengarah JPJ (Perancangan dan Operasi) Tuan Aedy Fadly Ramli berkata, JPJ akan terlibat dalam kaedah penyamaran bagi memastikan tiada pemandu bas melakukan kesalahan ketika memandu.
“Selain tu, penekanan kepada tujuh kesalahan utama pemandu bas menjadi fokus JPJ.
“Kesalahan-kesalahan tersebut adalah menggunakan telefon bimbit ketika memandu, memotong barisan, tidak mematuhi isyarat lampu merah, memotong di garisan berkembar, memandu melebihi had laju, tidak memakai tali pinggang keledar dan memandu di lorong kecemasan.
“Tindakan saman atau kompaun serta akan dikenakan mata demerit di bawah Sistem Penalti Mata Demerit Kesalahan Jalan Raya (KEJARA) yang membolehkan lesen pemandu digantung atau dibatalkan,” katanya.
Menurut Aedy Fadly lagi, Perintah Larangan Pemanduan Kenderaan Barangan juga dilaksanakan iaitu pada 20 hingga 21 Januari dan 24 dan 25 Januari ini bagi mengelakkan risiko berlakunya nahas jalan raya antara kenderaan berat dan kenderaan ringan.
“JPJ turut mengingatkan semua pengguna jalan raya untuk mematuhi semua peraturan jalan raya yang telah ditetapkan,” katanya.
-ZS-