Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurPahang

Harga Barang Keperluan Tahun Baharu Cina Masih Munasabah

By 20 Januari 2023Tiada komen1 minit bacaan

Laporan/foto: Siti Nor Aishah (Kuala Nerus)

KUALA NERUS, 20 Jan (Malaysiaaktif) – Menjelang Tahun Baharu Cina yang berbaki beberapa hari sahaja lagi, barang keperluan dan hiasan untuk menyambut perayaan tersebut sudah kelihatan dijual di pasar-pasar termasuk di Pasar Batu 6 di sini.

Jangkaan orang ramai yang perlu membayar lebih untuk mendapatkan barangan keperluan sempena sambutan perayaan tersebut kali ini tidak tepat, apabila kebanyakan harga barangan keperluan harian dan perhiasan tidak begitu meningkat dan masih berada pada paras harga yang munasabah.

Peniaga kedai runcit, Norma Ibrahim, 52, berkata bekalan telur jenis omega lebih banyak dan mudah didapati berbanding dengan telur ayam jenis biasa.

“Telur ayam jenis omega lebih banyak dikeluarkan dan dipasarkan bagi memenuhi keperluan pelanggan meskipun harganya lebih mahal berbanding telur biasa, sekurang-kurangnya orang ramai boleh mendapatkan bekalan telur untuk keperluan semasa,” katanya ketika ditemu ramah, di sini semalam.

Peniaga buah, Ikram Abdul Aziz, 41, berkata buah limau yang lebih bermutu dan manis dijangka diperolehi pada hari ini (Khamis).

“Selain buah limau yang mesti ada di setiap rumah, labu oren, kundur dan tebu juga mendapat permintaan tinggi,” katanya.

Tinjauan juga mendapati beberapa barangan dijual di bawah paras harga kawalan seperti kobis bulat dan kentang.

-ZS-

Tinggalkan komen anda