Laporan/foto: Muhamad Hafizudin Abdul Halim/Norfaizah Adnan (Kuala Lumpur)
PUTRAJAYA, 13 Feb (Malaysiaaktif) – Hanya pada harga RM4.90, warga Putrajaya mampu menikmati ‘Grilled Chicken Chop’.
Menyambut baik inisiatif Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Mios Kitchen di Presint 15, di sini menawarkan Menu Rahmah ‘barat’ pada harga yang sangat murah.
Tinjauan Malaysia Aktif mendapati Menu Rahmah Mios Kitchen ini mendapat sambutan yang baik khususnya daripada golongan penjawat awam yang bekerja di sekitar sini.
“Alhamdulillah setakat ini sambutan yang hangat dan pelanggan pun agak ramai juga yang bertanyakan Menu Rahmah. Lebih daripada 70 set Menu Rahmah yang dijual tiap hari,” kata Pengurus Mios Kitchen Putrajaya, Ashraf Hussin ketika ditemui Malaysia Aktif.
“Menu Rahmah di restoran ala barat seperti ini amat bagus dan boleh jadi pilihan utama khususnya keluarga B40 yang mempunyai ramai anak macam saya,” kata Puan Nur Md Nasir, 38, penjawat awam yang mempunyai lima orang anak.
Samsudin, 46, pula berharap lebih banyak lagi inisiatif kerajaan seumpama ini dilaksanakan dalam membantu meringankan kos sara hidup rakyat yang semakin tinggi.
“Sebagai rakyat kita nak kan sesuatu yang kerajaan boleh lakukan dalam membantu rakyat memandangkan harga barang dan makanan yang semakin tinggi membebankan terutamanya golongan B40 di bandar,” ujar Samsudin lagi.
-ZS-