Skip to main content
Berita Sabah & LabuanBerita TempatanSabah

IKMKK Giat Teroka Kolaborasi Strategik Dengan Pemain Industri Automotif

By 15 Februari 2023Tiada komen1 minit bacaan

Penulis/foto: Eviannie Kin/IKM Kota Kinabalu

KOTA KINABALU, 15 Feb (Malaysiaaktif) – Institut Kemahiran MARA Kota Kinabalu (IKMKK) giat meneroka potensi kolaborasi strategik berimpak tinggi dengan para pemain industri untuk melahirkan graduan pakar dalam bidang automotif.

Pengarahnya, Nazahia Mat Isa berkata, hubungan strategik dengan pemain industri sangat penting bagi memastikan bakal graduan kekal relevan dengan tuntutan dan kehendak industri.

“Kerjasama industri ini sudah tentu akan memberikan manfaat kedua-dua pihak menerusi perkongsian teknologi dan kepakaran masing-masing.

“Sehubungan itu, IKMKK komited untuk menjalinkan hubungan rapat bersama para pemain industri,” katanya semasa sesi pertemuan antara IKMKK dan wakil Syarikat VE Autocool Car Air Con Service & Repairing di sini pada Selasa.

Dalam pada itu, Pengarah Urusan VE Autocool Car Air Con Service & Repairing, Endra Muis berkata, syarikat yang terletak di Likas merupakan Syarikat Enterprise yang sudah lama bertapak dalam industri servis dan membaik pulih penghawa dingin kenderaan.

“Syarikat ini juga menawarkan tempat latihan industri dan juga peluang pekerjaan selain menyediakan tenaga pakar untuk membuat demonstrasi amali kepada para pelajar IKMKK,” kata beliau.

Ujarnya, kini syarikat sedang dalam rangka melebarkan sayap perniagaan dalam skala besar berfokus kepada lapangan servis, baik pulih dan alat ganti penghawa dingin kenderaan.

-ZS-

Tinggalkan komen anda