Laporan/foto: Marshita/Shamsul Bahari
BATU MAUNG, 20 Feb (Malaysiaaktif) – Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital Puan Teo Nie Ching telah mengadakan sesi pertemuan ramah mesra bersama kakitangan Jabatan Penerangan (JaPen) Pulau Pinang, di sini pagi tadi.
Ini merupakan lawatan kerja beliau yang ketiga sejak memegang jawatan sebagai Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital.
“Saya mengharapkan dapat mengetahui dengan lebih jelas mengenai isu-isu yang boleh diutarakan ke peringkat Kementerian bagi penambahbaikan sistem pemerintahan Kerajaan Perpaduan yang berkonsepkan Malaysia Madani,” katanya.
Teo Nie Ching berharap pertemuan tersebut akan menjadikan JaPen Pulau Pinang memainkan peranan lebih penting dalam memastikan agenda kerajaan dapat disampaikan dengan lebih jelas.
Zayed Barakh, 33, berkata sebagai kakitangan yang baru memasuki tahun kedua dalam JaPen, platform seperti ini sangat bermakna di mana setiap kakitangan di peringat daerah berpeluang menyatakan permasalahan tugasan, dibincangkan dan diangkat untuk penambahbaikan semasa menjalankan tugasan harian.
“Walaupun masing-masing sentiasa sibuk dengan urusan program di daerah, kami mengambil peluang untuk bertemu dengan pemimpin atasan,” katanya.
Seramai 50 orang kakitangan JaPen dari beberapa daerah di Pulau Pinang hadir pada majlis tersebut.
Turut hadir Ahli Parlimen Bukit Bendera Syerleena Abdul Rashid, Ahli Dewan Undangan Negeri Pulau Tikus Lee Chun Kit dan Ketua Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia Dato’ Sukari Ab. Hamid.
-ZS-