Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahKuala Lumpur

Menu Rahmah : Set Makanan Berserta Air di Restoran Ali Maju

By 15 Februari 2023Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Irina Abd Samad/Rahimah Rafiai (Kuala Lumpur)

KUALA LUMPUR, 15 Feb (Malaysiaaktif) – Menu Rahmah yang diperkenalkan oleh kerajaan perpaduan terus mendapat sambutan yang baik daripada semua peringkat rakyat Malaysia.

Restoran Ali Maju tidak ketinggalan dengan menyediakan menu makanan tengah hari yang seimbang bermula pukul 12.00 tengah hari hingga 3.00 petang merangkumi nasi, satu pilihan protein seperti ayam atau ikan dan sejenis sayuran (yang dipilih sendiri) serta minuman teh o ais atau teh o panas ditawarkan pada harga yang sangat berpatutan, iaitu RM5.

Pengurus Restoran, Mohammad Ansor Burukan, 40, berkata, Menu Rahmah diperkenalkan pada 1 Februari lalu di Restoran Ali Maju telah mendapat sambutan yang amat menggalakkan dan kami menyokong usaha kerajaan dalam membantu golongan kurang berkemampuan yang terkesan dengan kos sara hidup makin tinggi sejak kebelakangan ini.

“Kesemua 15 cawangan Restoran Ali Maju di Kuala Lumpur menawarkan Menu Rahmah dan kini kami dalam usaha untuk mempelbagaikan lagi menu bagi menukar selera pelanggan.

“Alhamdulillah, lebih 50 hingga 60 set Menu Rahmah dijual setiap hari dari pukul 12 tengah hari hingga 3.00 petang,” kata Mohammad Ansor ketika ditemui Malaysia Aktif di Restoran Ali Maju Cawangan Sri Rampai, di sini hari ini.

Alif Hilmi Amil, 38, pelanggan Menu Rahmah ketika ditemui berkata, pengenalan Menu Rahmah, set makan tengah hari pada harga RM5 ini sangat membantunya berjimat memandangkan kos sara hidup di Kuala Lumpur agak tinggi lebih-lebih lagi saya yang bekerja sebagai penghantar barang.

“Saya berharap agar lebih banyak inisiatif yang diberikan oleh kerajaan hari ini dalam membantu golongan sasar yang kurang berkemampuan dan berharap sangat kerajaan dapat menurunkan kos barang keperluan yang semakin tinggi,” katanya.

-ZS-

Tinggalkan komen anda