Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahSelangor

Penantian 24 Tahun Penduduk Sungai Buaya Berakhir

By 5 Februari 2023Tiada komen1 minit bacaan

Laporan/foto: Ameer Rithauddin Roslan (Hulu Selangor)

HULU SELANGOR, 5 Feb (Malaysiaaktif) – Seramai 300 orang penerima hak milik Bandar Sungai Buaya hadir menerima Surat Kelulusan Hakmilik Individu masing-masing dalam majlis yang diadakan di Pejabat Operasi Murna Jaya Development Berhad (MJD), Bandar Sungai Buaya, di sini semalam.

Menurut Pegawai Daerah Hulu Selangor Hanafe Basri penantian selama hampir 24 tahun itu telah berjaya diselesaikan oleh pihak Kerajaan Negeri Selangor melalui Pejabat Tanah Galian Negeri bersama pihak Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Selangor setelah ia diluluskan dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor pada 19 Oktober tahun lalu di bawah Seksyen 197 dan Seksyen 76 Kanun Tanah Negara 1965.

“Alhamdulillah syukur, penduduk-penduduk Sungai Buaya kini sudah boleh menarik nafas lega apabila pelbagai urusan berkaitan tanah yang selama ini terbengkalai seperti pindah milik, pusaka dan lain-lain akhirnya dipermudahkan dengan adanya Surat Kelulusan Hakmilik Individu Bandar Sungai Buaya ini”, katanya selepas Majlis Penyerahan Surat Kelulusan Hak Milik Individu.

“Kesemua 300 penerima hari ini merupakan antara keseluruhan 3,580 orang penduduk Sg. Buaya yang telah dijanjikan surat kelulusan masing-masing secara berperingkat dalam tempoh terdekat melalui pihak MJD,” katanya semasa Majlis Penyerahan Kelulusan Hak Milik Individu.

Turut hadir Jurutera Daerah Hulu Selangor Ts. Ahmad Faris Mohd Ghazali, Pengarah Murna Jaya Development Berhad Sallehudin Ahmad, Ketua-Ketua Jabatan serta Penghulu Mukim Hulu Selangor.

-ZS-

Tinggalkan komen anda