Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanJohor

Penjawat Awam Mersing Ikrar Bebas Rasuah

By 13 Februari 2023Tiada komen1 minit bacaan

Laporan/foto: Mohd Hanif Ahmad/Mohd Zahairi Ahmad Zabidi

MERSING, 13 Feb (Malaysiaaktif) – Lebih 500 penjawat awam di Mersing menandatangani dan melafazkan Ikrar Bebas Rasuah (IBR) sebagai menunjukkan komitmen dalam memerangi rasuah serta salah guna kuasa.

Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Johor Datuk Azmi Alias berkata, SPRM amat berbesar hati atas komitmen dan keprihatinan yang ditunjukkan penjawat awam di Mersing untuk sama-sama memberi sokongan agar memastikan negara bebas rasuah dan salah guna kuasa.

“IBR merupakan medium terbaik agar seluruh penjawat awam bertekad dan bertindak menjauhkan diri daripada sebarang perlakuan serta amalan tidak berintegriti yang berunsur rasuah,” tambah beliau lagi ketika berucap pada Majlis Ikrar Bebas Rasuah (IBR) Bersama Penjawat Awam Daerah Mersing di Dewan Permata Marjan Politeknik Mersing, di sini semalam.

Terdahulu, kesemua penjawat awam yang hadir turut mendengar ceramah bertajuk ‘Integriti Cerminan Iman dan Keperibadian’ oleh Al-Fadhil Ustaz Haji Hanafiah Abdul Razak Pakar Falak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Sementara itu, Pegawai Daerah Mersing Tuan Haji Mohammed Shakib Haji Ali mengucapkan terima kasih atas kerjasama semua pihak yang menjayakan Majlis Ikrar Bebas Rasuah ini.

“Saya berharap dengan adanya program ini penjawat awam dapat menerapkan nilai integriti dalam diri masing-masing,” ujarnya.

Turut hadir Yang Dipertua Majlis Daerah Mersing Mohd Norman Noh dan Ketua Polis Daerah Mersing Superintenden Abdul Razak Abdullah Sani.

-ZS-

Tinggalkan komen anda