Skip to main content
Berita Sabah & LabuanBerita TempatanLabuan

Perjuangan 1110 Calon SPM Labuan Bermula Hari Ini

By 20 Februari 2023Tiada komen1 minit bacaan

Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus/Jeffrey Nian (Labuan)

LABUAN, 20 Feb  (Malaysiaaktif) – Seramai 1,041 orang calon sekolah dan 69 calon persendirian Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022 mula menduduki peperiksaan di 14 pusat peperiksaan di Wilayah Persekutuan Labuan hari ini.

Menurut Pengarah Jabatan Pendidikan Labuan Yusup Mohamad, peperiksaan bertulis SPM tahun 2022 dilaksanakan bermula 20 Februari hingga 15 Mac.

“Semua calon diingatkan agar sentiasa merujuk jadual waktu peperiksaan bagi mendapatkan maklumat mengenai tarikh, masa, kod dan kertas peperiksaan serta arahan yang perlu dipatuhi sepanjang peperiksaan berlangsung.

“Calon turut diingatkan supaya membawa dokumen pengenalan diri dan Pernyataan Pendaftaran Peperiksaan ke pusat peperiksaan serta mematuhi peraturan yang ditetapkan bagi memastikan kelancaran pengurusan pengendalian peperiksaan SPM tahun 2022,” katanya ketika ditemui semasa membuat tinjauan perjalanan peperiksaan SPM di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pantai, pagi tadi.

Beliau turut berharap agar semua calon SPM dapat menjawab soalan peperiksaan dengan baik dan tenang sekaligus memperolehi kejayaan yang cemerlang apabila keputusan diumumkan nanti.

-ZS-

Tinggalkan komen anda