Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus/Roziman Mahmudin (Labuan)
LABUAN, 1 Feb (Malaysiaaktif) – Perbadanan Labuan (PL) dengan kerjasama Jabatan Pertanian Labuan dalam rangka bagi mewujudkan Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM).
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif PL Rithuan Mohd Ismail, taman seluas 10 hektar itu diwujudkan sebagai satu pusat pertanian bersepadu khususnya bagi menstabilkan dan menyediakan tanaman asas sayuran tempatan yang berterusan di Wilayah Persekutuan Labuan.
“Dengan adanya TKPM kita boleh mengurangkan kebergantungan bekalan sayuran dan buah-buahan dari luar sekaligus menstabilkan harga bahan mentah di pasaran Labuan,”katanya semasa ditemubual dalam Program Bicara Eksklusif LabuanFM pagi tadi.
Jelasnya lagi, PL juga merancang untuk membuka Pusat Pengumpulan Produk Tempatan dari kalangan para usahawan di pulau itu.
“PL akan bekerjasama dengan pasaraya – pasaraya terpilih bagi mewujudkan pusat pameran atau pengumpulan produk para usahawan Labuan yang akan menjadi tumpuan pelancong sekaligus dijangka mampu meningkatkan pendapatan usahawan itu sendiri,”jelasnya.
Tambahnya, PL juga sedang dalam proses mendapatkan maklumat penduduk Labuan dalam kategori Ketua Isi Rumah Miskin Tegar (KIR MT) yang layak untuk dibantu dalam Program Pembasmian Kemiskinan Tegar (BMT) seperti mana yang dilaksanakan pada tahun lalu.
-ZS-