Laporan/foto: Suzira Zainol Abidin (Ipoh)/Kolej Komuniti Gerik
GERIK, 3 Feb (Malaysiaaktif) – Projek Pertanian Komuniti yang diusahakan Unit Pembangunan Pelajar Kolej Komuniti Gerik, Perak (KKGP) bersama Pejabat Pertanian Daerah Hulu Perak adalah usaha KKGP untuk memberi nilai tambah ilmu kepada pelajar.
Pengarah KKGP, Ts. Khairil Azhar Mohd Nor berkata, menerusi projek ini pelajar mengusahakan projek penanaman cili menggunakan kaedah sistem fertigasi.
“Ia adalah projek khas untuk pelajar Orang Asli yang sedang belajar di KKGP, sebanyak 500 pokok cili telah berjaya ditanam dan mengeluarkan hasil pertamanya pada hari ini,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Projek Pertanian Komuniti di KKGP, pada Rabu.
Fertigasi atau sistem pengeluaran tanaman tanpa tanah merupakan teknologi terkini yang semakin meluas penggunaannya dalam kalangan pengusaha bidang pertanian, di mana ia menggabungkan pembajaan dan pengairan dalam satu sistem di bawah struktur pelindung tanaman bagi menjamin pengeluaran hasil tinggi serta berkualiti.
-ZS-