Laporan/foto: Noorsiah Mahmud
PENAMPANG, 1 Feb (Malaysiaaktif) – “Tidak menang tangan saya, boleh dikatakan kalau ikutkan hati 24 jam menjahit saja,” itulah kata-kata tukang jahit, Reitah Mudut, 53, apabila menerima banyak tempahan untuk menjahit busana elemen tradisi Sabah.
Beliau berkata, bukan hanya pelanggan dari Sabah, malahan dari Semenanjung juga berminat dengan busana fesyen kontemporari elemen tradisi Sabah.
“Ekoran sambutan sangat baik, saya berjaya membuka kedai sendiri sejak tiga tahun lalu bagi memudahkan urusan tempahan dan jahitan.
“Menjahit pakaian tradisi ini memerlukan ketelitian dan kemahiran barulah dapat menghasilkan baju yang cantik dan kemas terutamanya semasa menjahit aksesori seperti butang dan manik pada pakaian tersebut,” kongsinya semasa ditemui media, di sini baru-baru ini.
Tambah Reitah, harga busana wanita biasanya lebih tinggi kerana bergantung kepada corak dan jenis material kain yang digunakan mengikut permintaan pelanggan seperti kain baldu yang berharga di antara RM30 sehingga RM100 semeter.
Katanya yang pernah mengikuti kursus asas jahitan di GiatMARA selain mengikuti pelbagai kursus berkaitan jahitan bagi menambah baik kemahiran.
-ZS-