Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahSelangor

Tumpahan Diesel Dikenal pasti Punca Pencemaran Sungai Selangor

By 12 Februari 2023Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)/LUAS

SHAH ALAM, 12 Feb (Malaysiaaktif) – Tumpahan minyak jentera berat (diesel) di tebing Sungai Selangor menjadi punca pencemaran bau  menyebabkan 1,337 kawasan di Selangor dan Kuala Lumpur dijangka mengalami gangguan bekalan air hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Orang Asli Selangor, Hee Loy Sian berkata tumpahan minyak tersebut ditemukan di tebing Sungai Selangor pada jarak sekitar tiga kilometer dari muka sauk terhampir, Loji Rawatan Air (LRA) Rantau Panjang.

“Susulan itu LRA Rantau Panjang, LRA Sungai Selangor Fasa 1 (SSP1), LRA Sungai Selangor Fasa Dua  (SSP2) dan LRA Sungai Selangor Fasa Tiga (SSP3) dihenti tugas bermula jam 9.45 malam semalam.

“Penutupan sementara muka sauk terlibat adalah sekitar empat jam sementara operasi LRA juga dihenti tugas sementara bertujuan sebagai kawalan dan pencegahan bagi mengelakkan kesan pencemaran yang lebih teruk kepada sistem LRA,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, permasalahan pencemaran ini berjaya dikawal segera dengan penyaluran air mentah daripada projek pembangunan Sistem Peningkatan Hibrid Pinggir Sungai (HORAS) 600 dan kolam alternatif KL Larut sebanyak 836 juta liter sehari (JLH) bermula pada jam 10 malam semalam, serta penurunan pintu baraj di muka sauk LRA.

“Langkah proaktif ini adalah bagi meningkatkan pencairan sungai serta aliran tercemar melepasi kawasan muka sauk dengan segera.

“Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) meletakkan tiga ‘oil boom’ dan juga tiga kotak ‘oil pad’ di kawasan tumpahan serta menaikkan ban di tebing sungai untuk mencegah tumpahan minyak tersebut daripada mengalir masuk ke dalam sungai,” jelasnya.

Katanya, pemilik telah mengalihkan jentera tersebut dan melaksanakan kerja-kerja pembersihan berdasarkan arahan LUAS.

“Siasatan lanjut sedang dilaksanakan bagi memastikan permasalahan ini diselesaikan
sepenuhnya di lapangan.

“LUAS juga telah melaksanakan pensampelan bagi tujuan tindakan selanjutnya yang melibatkan perundangan,” katanya.

-ZS-

Tinggalkan komen anda