
Laporan/foto: Intan Saziana (Cameron Highlands)
CAMERON HIGHLANDS, 30 Mac (Malaysiaaktif) – Kelainan yang dibawakan oleh seorang peniaga di Bazar Ramadan Tanah Rata mencipta apam balik strawberi berjaya menambat hati setiap pengunjung untuk singgah di gerainya.
Muhammad Hariz Dzulkarnain, 31, berkata idea untuk mencipta apam balik strawberi ini kerana dirinya yang suka makan strawberi cicah coklat yang cukup sinonim di Cameron Highlands.
“Saya suka rasanya yang masam-masam manis, daripada situ saya mendapat idea untuk menggabungkan nutella dan sapukan pada apam balik dan rasanya sangat sedap,” ujarnya.
Tambah Hariz, selain melambangkan identiti Cameron Highlands, produk yang dihasilkan menggunakan buah strawberi yang segar dan mudah untuk didapati di sini.
“Sambutan bagi produk ini juga sangat menggalakkan daripada penduduk setempat serta pelancong dari luar negara,” katanya yang merupakan satu-satunya peniaga yang menjual apam balik pelbagai perisa di bazar ini.
Selain apam balik, Hariz turut menjual produk baharu OoKiss, kuih tradisional yang agak susah untuk dijumpai pada masa ini dan diinovasikan dengan meletakkan pelbagai taburan perisa di atasnya termasuklah inti strawberi.
-ZS-