Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)
SHAH ALAM, 30 Mac (Malaysiaaktif) – Sebanyak 25 produk inovasi yang berpotensi untuk dikomersialkan hasil ciptaan pelajar serta pensyarah politeknik dan kolej komuniti seluruh negara dipamerkan dalam Commercial & Technology Transfer Expo PolyCC 2023 (ComTTEx’23).
Ekspo bertemakan ‘The Big Idea’, Fasa 1 ComTTEx’23 berlangsung dari 28 Mac hingga 28 Ogos ini bertempat di Pusat Inovasi dan Pengkomersialan (ICC) Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PSA), di sini.
Pengarah PSA Dr Norhayati Zakaria, berkata ICC adalah platform untuk penyelidik mengembangkan produk mereka di samping memperkukuh budaya kecemerlangan penyelidikan, inovasi dan pengkomersialan.
“Produk-produk yang dipamerkan ini telah mempunyai rekod komersial dalam pasaran tempatan seperti kasut kesihatan VSHOE hasil penyelidikan pelajar dan pensyarah PSA yang merupakan antara 10 penerima Geran Pembangunan Komersial,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sementara itu, lima produk lagi yang turut digazetkan dalam Pencapaian 100 Hari Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti iaitu Circuit Assemble Aids dari Politeknik Ungku Omar, Sambal Teruna Berapi dari Kolej Komuniti Sungai Petani, Che Rasa keluaran Kolej Komuniti Chenderoh, Rendang Hitam Pucuk Kayu dari Kolej Komuniti Selayang dan Tepung Serbaguna Uniqverse dari Kolej Komuniti Pasir Mas.
Majlis Perasmian ComTTEx’23 disempurnakan oleh Pengarah Pusat Inovasi dan Penyelidikan, Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti Dr. Riam Chau Mai yang turut dihadiri pengarah-pengarah politeknik dan kolej komuniti serta Ketua Unit Penyelidikan, Inovasi dan Komersialan Zon Selangor dan Kuala Lumpur.
-ZS-