
Laporan/foto: Latifah Salleh/Haliza Mohd Taib (Muar)
MUAR, 29 Mac (Malaysiaaktif) – Seramai 812 orang mangsa banjir yang berpindah ke PPS bagi Parlimen Pagoh menerima bantuan dalam Majlis Penyerahan Bantuan Wang Ihsan yang diadakan di Kompleks Sukan Pagoh, di sini hari ini.
Mangsa banjir menerima RM1,000 yang merupakan sumbangan Kerajaan Persekutuan serta RM300 sumbangan dari Kerajaan Negeri dan majlis penyerahan telah disempurnakan oleh Pegawai Daerah Muar, Hasrin Kamal Hashim.
Beliau berterima kasih kepada semua khususnya Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan agensi lain yang telah berjaya menguruskan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dengan baik.
“Daerah Muar sedang mengurus mangsa yang tidak berpindah tetapi rumah terkesan akibat banjir, bantuan kepada kerosakan barangan mengikut nilai kerosakan sebanyak RM2,500 maksimum dan bantuan kerosakan rumah maksimum RM5,000 akan diberikan.
“Mangsa yang terkesan hendaklah mengisi borang serta melampirkan dokumen seperti laporan polis, gambar dan hantar permohonan kepada penghulu,” katanya.
Menurut mangsa Zazali Mahad, 61, dan Siti Zaleha Ahmad, 56, mereka merakamkan jutaan terima kasih kepada pentadbiran Daerah Muar iaitu Pegawai Daerah Muar yang telah menyampaikan sumbangan pada hari ini.
“Dengan bantuan ini semua mangsa terjejas dapat memanfaatkan duit sumbangan yang diterima dengan membaharui keperluan yang musnah dan dapat menyambut Hari Raya dengan selamat,” ujarnya.
Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Kepong Saharudin Jamal.
-ZS-