Laporan/foto: Syed Mohd Adib Syed Hassan (Segamat)
SEGAMAT, 28 Mac (Malaysiaaktif) – Sebanyak RM58,500 bayaran tunai telah diberikan kepada mangsa banjir yang melibatkan 45 Ketua Isi Rumah (KIR) daripada mukim Jabi dan mukim Sermin dalam Program Penyerahan Bantuan Wang Ihsan (BWI) Daerah Segamat yang diadakan di Balai Raya Kampung Bumbun, di sini tengah hari tadi.
Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat Daerah Segamat Mohamad Kamil Helmi Mohd Pang, memaklumkan daripada 45 KIR yang berdaftar, seramai 33 KIR bagi mukim Jabi dan 12 KIR dari mukim Sermin telah menerima sumbangan tersebut.
“Penyerahan pada hari ini hanya mereka yang mendaftar dan duduk di PPS sahaja yang terima bantuan, manakala yang daftar tetapi tidak duduk di PPS akan dimaklum kemudian bila dapat bantuannya.
“Setiap penerima bantuan akan menerima wang tunai sebanyak RM1,000 daripada peruntukan kerajaan pusat (Agensi Pengurusan Bencana Negara) dan RM300 daripada peruntukan kerajaan negeri,” katanya.
Penyerahan Bantuan Wang Ihsan 2023 bagi mukim Jabi dan Sermin disempurnakan oleh Pegawai Daerah Segamat, Mohd Masni Wakiman serta tetamu kehormat yang lain.
Zulhijah Abdul Aziz, 62, yang menetap di Kampung Gelang Chincin berkata bahawa BWI ini dapat digunakan untuk membeli beberapa peralatan rumah yang rosak ditenggelami banjir baru-baru ini dan bakinya akan disimpan untuk kegunaan Hari Raya Aidilfitri.
Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pemanis Anuar Abdul Manap, Pegawai khas Ahli Parlimen Sekijang Aidil Haryman Mad Nor, Ketua Bahagian Integriti dan Pematuhan Standard Balai Ibu Pejabat Polis Daerah Segamat ASP Chan Kok Chuan, Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat Daerah Mohamad Kamil Mohd Pang, Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Segamat Kapten Nor Hisyam Abdullah dan Pegawai Penerangan Daerah Segamat Nor Sofian Abdul Manan.
-ZS-