Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanJohor

DTRC Medium Melestarikan Alam Sekitar

By 22 Mac 2023Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Rashid Ibrahim/Mohd Zahairi Ahmad Zabidi

MERSING, 22 Mac (Malaysiaaktif) – Pusat Kitar Semula Pandu Lalu Mersing atau Drive Thru Recycling Centre (DTRC) Mersing telah mula diperkenalkan di negeri Johor dan beroperasi sejak 5 Mac lalu.

Menurut Yang dipertua Majlis Daerah Mersing Mohd Norman Noh tujuan utama penubuhan pusat kitar semula ini adalah untuk mendidik warga Mersing khususnya bagi mengurangkan pembuangan sampah yang boleh dikitar semula selain dapat menjaga ekosistem alam dengan lebih konsisten.

“SWCorp berharap DTRC ini dapat memberi manfaat kepada masyarakat setempat dengan menerima hampir 28 jenis barangan yang boleh dikitar semula mengikut kategori seperti kertas, plastik, besi, kotak kadbod, tin aluminium termasuk minyak masak terpakai,” katanya.

Pengarah SWCorp Negeri Johor Cairol Hisham Jalaludin, berkata perlaksanaan kempen-kempen pengasingan sisa pepejal isi rumah dan program-program 3R (Reduce, Reuse dan Recycle) dibuat secara berterusan dan bersepadu untuk mencapai kelestarian alam sekitar yang merangkumi kempen kesedaran dan promosi mengenai faedah 3R, program pendidikan untuk pelbagai peringkat umur.

“Kemudahan fasiliti DTRC ini dapat dimanfaatkan sebaiknya serta dapat menarik minat masyarakat Mersing untuk terus membudayakan amalan kitar semula dan secara tidak langsung menyokong Matlamat Pembangunan Lestari (SDGs) ke-12, yang menggariskan pengurangan penjanaan sisa pepejal menjelang tahun 2030 melalui aktiviti kitar semula, sifar sisa, pengurusan sisa yang efektif demi pembangunan mampan dan kesejahteraan alam sekitar secara berterusan dapat direalisasikan,” ujarnya.

Aktiviti lain sempena program yang diadakan di sini semalam adalah sesi ‘pocket talk’ dari agensi-agensi kerajaan yang berkaitan dan juga penyampaian hadiah Pertandingan Barangan Kitar Semula Terberat.

-ZS-

Tinggalkan komen anda