Laporan/foto: Mohd Firdaus Mahmud (Kuala Muda)
KUALA MUDA, 21 Mac (Malaysiaaktif) – Jualan terus dari ladang produk berasaskan keperluan harian yang diadakan di Tapak Parkir Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Muda hari ini mendapat sambutan yang menggalakkan daripada pembeli.
Program yang dinamakan Jualan Ramadhan MADANI ini adalah inisiatif Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Negeri Kedah dengan kerjasama Pejabat Daerah Dan Tanah Kuala Muda.
Salah seorang peniaga yang ditemui Hapizal Abu Hassan, 42, berkata produk jualan sayurannya dijual pada harga yang lebih rendah berbanding di pasar awam.
“Peniaga yang berdaftar di bawah FAMA banyak dibantu terutama dari segi subsidi untuk beberapa jenis produk bagi mengimbangi kos jualan dan keuntungan,” katanya.
Menurut seorang pengunjung Rahimah Abdullah, 44, beliau mendapat tahu bahawa FAMA akan mengadakan Jualan Ramadhan MADANI ini sehari sebelumnya dan beliau mengambil peluang ini untuk membeli barangan keperluan yang diperlukan sepanjang Ramadan nanti pada harga yang sangat berpatutan.
Pengarah FAMA Negeri Kedah Isa Hamzah, berkata fokus utama program ini adalah bagi membantu pengguna membeli barangan keperluan harian pada harga berpatutan menjelang Ramadan yang hampir tiba.
“Jualan Ramadhan MADANI ini akan menjelajah ke beberapa lagi daerah di Kedah dan dijangka selesai sehari sebelum bulan Ramadan,” katanya.
-ZS-