Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurPahang

Sekolah Rintis K11 Harapan Baharu Masyarakat Orang Asli Lipis

By 21 Mac 2023Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Juhaisa Azrin/Norhanum

LIPIS, 21 Mac (Malaysiaaktif) – Sekolah Model Khas Komprehensif 11 (K11) Secara Rintis di Sekolah Menengah Kebangsaan RPS Betau menjadi harapan baharu kepada masyarakat Orang Asli di sekitarnya bagi mendapatkan pendidikan dengan lebih berkesan dan mengurangkan keciciran dalam pembelajaran.

Lawatan Kerja Menteri Besar Pahang, Datuk Sri Wan Rosdy Wan Ismail bersama Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek ke sekolah berkenaan semalam memberi sinar baharu di mana dengan pengoperasian sekolah model khas K11 ini akan memudahkan para pelajar Orang Asli mengikuti pembelajaran selama 11 tahun di sekolah yang sama, iaitu enam tahun peringkat rendah dan lima tahun peringkat menengah tanpa perlu bertukar ke sekolah lain.

“Saya telah membawa cadangan kepada Kerajaan Persekutuan agar sekolah ini dinaik taraf dari K9 ke K11 dan syukur Alhamdulillah cadangan tersebut telah diterima,” ulas Wan Rosdy.

Dalam lawatan kerja tersebut, Wan Rosdy dan Fadhlina telah dibawa melihat Blok A yang merupakan bangunan Akademik Ubah Suai/Naik Taraf bagi Sekolah Komprehensif 11 dan seterusnya ke Blok Baharu Bangunan Akademik.

Sekolah RPS Betau ini ditubuhkan pada 1 Januari 1972 di bawah kelolaan Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA) dan seterusnya diambil alih oleh Kementerian Pendidikan Malaysia pada tahun 1995.

Pada tahun 2000, dua blok bangunan untuk bilik darjah dan pejabat, satu blok kantin dan empat blok bangunan asrama serta dewan makan telah dibina.

Bermula 1 Januari 2013, sekolah berkenaan telah menjadi Sekolah Rendah Model Khas Komprehensif 9 (K9) yang mana pembelajaran peringkat menengah disediakan bagi Tingkatan 1 hingga dan secara rasminya pada 13 Mac 2023, sekolah terbabit telah beroperasi sebagai Model Khas K11.

-ZS-

Tinggalkan komen anda