Skip to main content
Berita Sabah & LabuanBerita TempatanSabah

Program Mammogram Bergerak Mampu Tingkat Kesedaran Masyarakat

By 21 Mac 2023Tiada komen1 minit bacaan

Laporan/foto: Moh. Haziman Abdul Rahman/Masrof Yaacob (Sabah)

TONGOD, 21 Mac (Malaysiaaktif) – Majlis Kanser Negara (MAKNA) mengambil inisiatif melakukan program Mammogram bergerak di Daerah Tongod dalam usaha meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kanser payudara sekali gus membantu golongan kurang berkemampuan mendapatkan pemeriksaan awal secara percuma.

Penyelaras program Azrul Azri Amri menyatakan daerah itu dipilih kerana lokasinya yang berada di luar bandar, masih mempunyai ramai penduduk yang kurang berkemampuan serta jarak ke hospital utama yang jauh.

“Tujuan program ini dilaksanakan adalah kerana ia salah satu daerah luar bandar yang mempunyai ramai penduduk miskin dan kurang berkemampuan.

“Jarak hospital yang jauh juga memerlukan kos perjalanan yang agak tinggi bagi penduduk luar bandar,” ujarnya dalam program tersebut, pada Ahad.

Sementara itu, salah seorang peserta program, Monica Sedik, 50, mengambil peluang dan kesempatan itu untuk membuat pemeriksaan awal kanser payudara.

“Saya memang ingin membuat pemeriksaan seperti ini dari dulu lagi terutama pemeriksaan kanser payudara tetapi tidak tahu bagaimana caranya.

“Dengan adanya program ini, mudahlah bagi kami yang berada di kawasan pedalaman untuk membuat pemeriksaan dan sebagai wanita, penting untuk kita menjaga kesihatan dan memastikan kita bebas dari penyakit ini,” katanya.

Pada program sama, masyarakat sekitar juga boleh membuat pemeriksaan kanser usus dan kanser prostat juga bagi kaum lelaki.

-ZS-

Tinggalkan komen anda