Skip to main content
Berita Sabah & LabuanBerita TempatanSabah

K9 sebagai Adik, Abang dan Rakan Sekerja

By 16 Mac 2023Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Sunday Grace Justimus/Geraldine Voo Yen Wen (Sabah)

Tuaran, 16 Mac (Malaysiaaktif) – Bertugas di ‘Unit K9’ Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Tuaran, Pegawai Bomba, Dexter Doerymond Judas, 29, merupakan pemegang anjing bernama Fleur dan menganggap ia bukan sahaja sebagai rakan sekerja tetapi umpama adik dan abang.

“Apabila saya ditugaskan di suatu operasi, saya dan Fleur memang tidak boleh berpisah kerana dari dahulu saya adalah pemegang anjing bagi Fleur dan saya ditugaskan untuk menjaganya sehingga akhir hayatnya,” katanya.

Manakala bagi rakan sekerjanya Loresty Didacus, 25, yang juga merupakan satu-satunya pegawai bomba dan pembantu pemegang anjing K9 perempuan di Sabah berkata untuk masuk ke Unit K9 harus ada perasaan sayang kepada haiwan.

“Bagi saya, untuk menjadi pemegang anjing haruslah seorang yang penyayang dan mempunyai komitmen yang tinggi terhadap anjing kerana di Unit K9 kita akan menjaga dan mengurus anjing. Saya juga mengibaratkan anjing ini sebagai sahabat kerana anjing lebih mudah untuk berinteraksi daripada haiwan lain,” kongsinya.

Sementara itu, Ketua Cawangan Unit K9 Sabah, Welfred Louis, berkata pengoperasian Unit K9 Jabatan Bomba Penyelamat Malaysia (JBPM) di Sabah kini telah beroperasi selama lima tahun sejak ditubuhkan pada 10 Disember 2018.

“Buat masa ini, kita ada kekuatan anggota seramai lapan orang dengan empat ekor anjing. Dalam pada itu, tiga tugasan utama K9 di Sabah ialah Fire Investigation, SAR Wilderness dan SAR Cadaver,” kongsinya ketika ditemui, di sini baru-baru ini.

Unit pengesan atau dikenali dengan nama ‘Unit K9’ merupakan salah satu mekanisme penggerak di dalam Jabatan bomba dan Penyelamat bagi melaksanakan kerja-kerja mengesan dan menyelamat dengan cekap dan pantas.

-ZS-

Tinggalkan komen anda