Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanJohor

Kotak Rahmah Buat Mangsa Banjir

By 12 Mac 2023Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Noor Hidayah Mohd Izam (Batu Pahat)

BATU PAHAT, 12 Mac (Malaysiaaktif) – Sebanyak 60 buah Kotak Rahmah berupa bahan mentah masakan telah diedarkan ke tiga Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Parit Sulong petang tadi sempena lawatan Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar ke PPS Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato’ Sulaiman, PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Maimon dan PPS Dewan Orang Ramai Taman Sri Sulong.

Bantuan ini telah diserahkan kepada pengurus PPS untuk dimasak secara gotong-royong oleh pihak masjid yang mengambil bahagian menyediakan makanan bagi kira-kira 1600 mangsa banjir di ketiga-tiga PPS terbabit.

Aniza Ahmad, 45, berkata selaku pengurus pendaftaran mangsa banjir di PPS Dewan Orang Ramai Taman Sri Sulong mengalu-alukan kedatangan semua pihak yang ingin menyalurkan bantuan kepada mangsa-mangsa banjir.

“Saya akan menyampaikan amanah dan bantuan diberikan sebaik-baiknya kepada semua ketua keluarga mangsa-mangsa banjir ini,” katanya.

Penghulu Mukim Simpang Kiri Mohamed Yusof Abu Bakar berkata setakat ini keadaan banjir di kawasan Parit Sulong masih belum surut dan dijangka mengambil masa dua minggu untuk betul-betul kering.

Beliau berterima kasih kepada pihak Jabatan Pengairan dan Saliran daerah yang berusaha mengepam air ke sungai bagi kawasan yang mengalami banjir termenung pasca banjir berikutan tiada lagi pelepasan air empangan dan fenomena air pasang besar juga sudah berhenti buat masa ini.

“Walau bagaimanapun kebanyakan mangsa tinggal sehelai sepinggang. Kami amat berbesar hati apabila ramai yang datang menghulurkan berbagai bentuk bantuan bagi meringankan beban kami di Parit Sulong ini,” katanya.

-ZS-

Tinggalkan komen anda