Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurKelantan

Masih Ramai Tidak Tahu PeKa B40 di perluas ke 40 Tahun ke Atas

By 13 Mac 2023Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohd Zulfadli Ab Hamid (Kuala Krai)

KUALA KRAI, 13 Mac (Malaysiaaktif) – Skim Peduli Kesihatan Untuk Kumpulan B40 atau lebih dikenali sebagai PeKa B40 pada peringkat awalnya hanya diberikan kepada rakyat berumur 50 tahun ke atas sahaja, tetapi kini ianya telah diperluaskan kepada rakyat 40 tahun ke atas.

Menurut Pemilik Klinik 24 jam, Dr. Azhar Ishak, 49, PeKa B40 ini layak kepada mereka yang berumur 40 ke atas dan juga penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) bersama pasangannya yang berdaftar.

“Mereka yang telah berdaftar sebagai penerima STR layak mendapat faedah ini, secara automatik tanpa perlu mendaftar di klinik kerajaan atau klinik swasta, pesakit hanya perlu membuat saringan kesihatan percuma di klinik yang berdaftar skim ini,” katanya.

“Antara manfaat diperoleh ialah saringan kesihatan percuma, bantuan alat perubatan, insentif melengkapkan rawatan kanser dan insentif tambang pengangkutan.

“Masih ramai yang tidak tahu skim ini terbuka kepada mereka berumur 40 ke atas, ramai yang sangka cuma 50 tahun ke atas sahaja, sebenarnya rakyat Kuala Krai yang layak mendapat faedah ini melebihi 40 ribu orang, namun setakat hari ini hanya sekitar 10 ribu sahaja yang telah mendaftar dan selesai membuat saringan kesihatan,” menurut beliau.

Seorang pengunjung Klinik Dr. Azhar, Poan Yin Chai, 49, berkata skim ini memberi pelbagai manfaat kepada masyarakat terutama mereka yang kurang berkemampuan, namun masih ramai  diluar sana masih tidak tahu tentang inisiatif kerajaan ini.

“Pihak kerajaan melalui agensinya perlu memperkasakan lagi kempen melalui Media Massa dan Media Sosial supaya rakyat betul-betul faham tentang skim ini dan lebih ramai mendapat manfaat darinya,“ katanya.

Skim ini merupakan satu inisiatif Kerajaan yang bertujuan menampung keperluan kesihatan golongan berpendapatan rendah dan memberi fokus terhadap penyakit tidak berjangkit (NCD).

Antara Klinik Kerajaan yang berdaftar dengan skim ini di Kuala Krai adalah Klinik Kesihatan Batu Mengkebang, Klinik Kesihatan Bandar Kuala Krai, Klinik Kesihatan Laloh, Klinik Kesihatan Manek Urai, Klinik Kesihatan Pahi dan Klinik Kesihatan Biak.

Manakala klinik swasta yang berdaftar sebagai panel skim ini adalah Klinik Dr. Azhar, Klinik Krai, Klinik Lua dan Klinik Perdana Kuala Krai.

-ZS-

Tinggalkan komen anda