Skip to main content
Berita Sabah & LabuanBerita TempatanSabah

Niat Puasa Seiring Azam Berhenti Merokok

By 18 Mac 2023Tiada komen1 minit bacaan

Laporan/foto: Zaidi Jamin (Sabah)

KOTA KINABALU, 18 Mac (Malaysiaaktif) – Orang ramai khususnya perokok tegar beragama Islam yang mengalami masalah untuk berhenti merokok disaran melakukan niat puasa sebulan Ramadan disertai dengan azam berhenti merokok.

Pegawai Promosi Kesihatan, Hospital Queen Elizabeth (HQE) Abdul Majidkhan Puyung, berkata hasil kajian mendapati 95 peratus perokok beragama Islam berupaya mengawal diri daripada tabiat tersebut di bulan Ramadan atas kewajipan menunaikan ibadat puasa sepanjang hari.

“Sehubungan itu, tidak mustahil perokok berupaya berhenti merokok sepenuhnya sekiranya menanamkan tekad untuk terus berhenti merokok kerana bulan Ramadan adalah waktu yang sesuai dan titik permulaan terbaik untuk berhenti merokok.

“Setelah berpuasa sepanjang hari dan meninggalkan perkara-perkara yang ditegah termasuk merokok. Perokok tegar digalakkan untuk terus melanjutkan usaha menahan diri daripada merokok selepas berbuka sepanjang bulan Ramadan,” katanya semasa menyampaikan ceramah pada Kursus Program Nafas Baru Bermula Ramadan Peringkat (HQE), di sini semalam.

Tambahnya, berhenti merokok bukan sahaja bagus untuk kesihatan diri, malah orang tersayang yang selalu bersama mereka.

Kursus sehari anjuran bersama Unit Promosi Kesihatan dan Klinik Berhenti Merokok (KBM) hospital dihadiri lebih 70 orang didahului dengan sesi ceramah mengenai ‘Keperluan dan Kebaikan Berhenti Merokok’ diikuti ceramah oleh Pegawai Farmasi Hospital, Noor Arbaiyah Jamali menyentuh ‘Kaedah Rawatan dan Farmakoterapi Berhenti Merokok’.

-ZS-

Tinggalkan komen anda