Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanJohor

Pacu Ria Semarak Ramadan Beri Manfaat kepada Komuniti

By 20 Mac 2023Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Syed Mohd Adib Syed Hassan (Segamat)

SEGAMAT, 20 Mac (Malaysiaaktif) – Pejabat Kadi Daerah Segamat dengan kerjasama Masjid Jamek Daerah Segamat serta agensi kerajaan telah menganjurkan program Fun Ride (pacu ria) Semarak Ramadan sempena menyambut ketibaan bulan Ramadan.

Salah satu objektif program ini adalah mewar-warkan kehadiran bulan penuh barakah itu yang bakal tiba tidak lama lagi kepada komuniti setempat khususnya sekitar daerah Segamat.

Antara pengisian program di setiap lokasi adalah Solat Sunat Duha berjemaah, penyerahan bantuan kepada fakir miskin, sumbangan kurma dan al-Quran, penyerahan gegantung serta hebahan kepada penduduk setempat melalui kenderaan van bergerak Jabatan Penerangan Malaysia.

Kadi Daerah Segamat As-Sheikh Mohd Hamizan Sayuti mengucapkan terima kasih kepada agensi kerajaan seperti Pejabat Penerangan Daerah, PDRM Segamat dan Pejabat Daerah Segamat yang membantu merealisasikan program ini dengan berkonvoi beramai-ramai dari satu tempat ke tempat yang lain sehingga berjaya.

“Selain masjid bandar Segamat terdapat lokasi lain yang disinggahi oleh rombongan iaitu Pejabat Daerah Segamat, Surau Kampung Sungai Gatom, Labis dan berakhir di Masjid Bandar Labis.

“Masyarakat Segamat perlu menjadikan kehadiran bulan Ramadan sebagai bulan yang berharga untuk kita memperbanyakkan peluang serta ruang yang Allah sediakan bagi kita umat islam,” ujarnya ketika merasmikan program semalam.

Suhaizan Saadon, 38, salah seorang peserta menyatakan program yang diadakan hari ini menjadikan masyarakat semakin teruja untuk bertemu dengan bulan Ramadan yang hampir tiba.

“Semoga semua umat Islam dapat menambah amal ibadah pada bulan Ramadan tahun ini serta tahun-tahun mendatang,” katanya.

Penerima bantuan, Hashim Idris, 62, mengungkapkan rasa syukur dan ribuan terima kasih kepada Pejabat Kadi Daerah kerana menyerahkan bantuan keperluan asas kepada beliau kerana ianya dapat meringankan beban selepas rumah beliau ditenggelami banjir baru-baru ini dan sumbangan barangan ini dapat digunakan bagi menyambut bulan Ramadan.

Turut hadir Pegawai Penerangan Daerah Segamat Nor Sofian Abdul Manan, Imam Daerah Hafifi Darapa, Penolong Pegawai Hal Ehwal Islam Bahagian Pengurusan Masjid Kerajaan Zulraimi Minhat dan Pengerusi Masjid Jannatul Firdaus Kampung Jawa Ilham Sohih.

-ZS-

Tinggalkan komen anda