Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanJohor

Rezeki Menjelang Ramadan

By 23 Mac 2023Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Syed Mohd Adib Syed Hassan (Segamat)

SEGAMAT, 23 Mac (Malaysiaaktif) – Seramai 275 Ketua Isi Rumah (KIR) dari 11 kampung serta empat taman perumahan yang terjejas akibat banjir pada awal Mac lalu telah menerima Bantuan Wang Ihsan (BWI) dalam Program Penyerahan Bantuan Wang Ihsan Daerah Segamat yang diadakan di Dewan Serbaguna Paya Pulai, di sini semalam.

Penghulu Mukim Pogoh Hamzah Abu Bakar, memaklumkan 275 KIR melibatkan 1408 mangsa dari Kampung Pogoh, Kampung Chodan, Kampung Bukit Senggir, Kampung Tekam, Kampung Melayu Raya, Kampung Sri Dagang, Kampung Sedeng, Kampung Lubok Selumar, Kampung Pogoh 2, Kampung Paya Pulai, Kampung Limau Manis, Taman Mida, Taman Perling, Taman Seri Pelangi dan Taman Pelangi di Mukim Pogoh, Segamat.

“Perjalanan proses pengagihan wang ihsan pada hari ini, ianya amat teratur dan sempurna tanpa ada sebarang permasalan berbangkit dan setiap KIR yang terlibat akan menerima wang tunai sebanyak RM1300,” katanya.

Penyerahan Bantuan Wang Ihsan 2023 bagi mukim Pogoh disempurnakan oleh wakil rasmi Pegawai Daerah Segamat Mohd Helmi Datuk Sa’ari bersama-sama tetamu kehormat yang lain.

Letchumi Muniandy, 53, berkata bantuan tersebut dapat digunakan bagi menggantikan pintu rumah yang rosak akibat ditenggelami air banjir baru-baru ini.

Kassim Saloh, 68, berkata duit yang diterima akan dibelanjakan dengan membeli peralatan rumah yang telah rosak akibat banjir yang memasuki rumah dan sebahagiannya akan digunakan untuk membeli barangan dapur bagi menyambut bulan Ramadan.

Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri Kemelah Saraswati Nalllathamby, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Segamat Yang Mulia Ungku Mohd Tahir Ungku Mohd Zakaria, Timbalan Ketua Polis Daerah Segamat DSP Ng Swie Chait, Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat Daerah Mohamad Kamil Mohd Pang, Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Segamat Kapten Nor Hisyam Abdullah dan Pegawai Penerangan Daerah Segamat Nor Sofian Abdul Manan.

-ZS-

Tinggalkan komen anda