Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

Umat Islam Berpuasa Mulai Esok

By 22 Mac 2023Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Zaidy Salim/RTM

PUTRAJAYA, 22 Mac (Malaysiaaktif) – Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad sebentar tadi mengumumkan umat Islam di Malaysia akan berpuasa bermula esok.

Menurut Syed Danial tarikh permulaan puasa bagi negeri-negeri di seluruh Malaysia ditetapkan pada hari ini menurut perintah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah setelah diperkenan oleh Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja.

Pengumuman itu disiarkan secara langsung menerusi Radio Televisyen Malaysia (RTM).

Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja melalui satu kenyataan sebelum ini menetapkan tarikh melihat anak bulan Ramadan bagi menentukan permulaan puasa untuk umat Islam di Malaysia ialah pada pada petang 22 Mac bersamaan 29 Syaaban 1444 Hijriah di 29 lokasi seluruh negara.

Lokasi-lokasi tersebut ialah Pontian Kecil, Johor dan Kompleks Falak Al-Khawarizmi Kampung Balik Batu, Tanjung Bidara, Melaka, Kompleks Baitul Hilal Telok Kemang, Port Dickson di Negeri Sembilan, Bukit Melawati, Kuala Selangor; Bukit Jugra, Banting, Kuala Langat dan Balai Cerap Selangor, Sabak Bernam di Selangor.

Pantai Pasir Panjang, Mukim Pengkalan Baru di Manjung di Perak; Pusat Falak Sheikh Tahir, Pantai Aceh di Pulau Pinang serta Kampung Pulau Sayak, Kuala Muda; Pemandangan Indah, Pulau Langkawi dan Menara Alor Setar, Alor Setar di Kedah.

Di Terengganu lokasinya di Bukit Besar, Kuala Terengganu; Bukit Geliga, Kemaman; Pulau Perhentian, Besut dan Balai Cerap Kolej Ugama Sultan Zainal Abidin (KUSZA), Mukim Merang, Setiu. Bukit Peraksi, Pasir Puteh; Bukit Kampung Tembeling, Mukim Manjur, Daerah Olak Jeram, Kuala Krai dan Menara Bangunan Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (SEDC), Kota Bharu di Kelantan.

Pusat Falak Miri, Teluk Bandung, Kuching serta Tanjung Batu, Bintulu (Sarawak); Balai Cerap Al-Biruni, Tanjung Dumpil, Putatan (Sabah); Bukit Tanjong Batu di Nenasi, Gunung Berinchang di Cameron Highlands dan Bukit Pelindong di Kuantan (Pahang).

Tingkat 13, Menara Universiti Malaysia Sabah, Kampus Antarabangsa Labuan, Menara Kuala Lumpur, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya serta Menara Pandang, Masjid Al-Hussain Kuala Perlis, Perlis.

Majlis Raja-Raja Menurut kenyataan itu juga bersetuju cara menetapkan tarikh permulaan puasa adalah berdasarkan Rukyah serta Hisab.

-ZS-

Tinggalkan komen anda