Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus (Labuan)/BES Labuan
LABUAN, 29 Apr (Malaysiaaktif) – Sebanyak 22 premis perniagaan diperiksa Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Labuan dalam tempoh tujuh hari sempena perayaan Aidilfitiri.
Timbalan Pengarahnya, Emil Taihin berkata pemeriksaan bertujuan memastikan keselamatan bangunan premis yang dikunjungi orang ramai berada dalam tahap selamat selain perlu mematuhi prosedur keselamatan yang telah digariskan khususnya ketika musim perayaan.
“Musim perayaan ini ramai orang membeli belah dan kita kena pastikan orang yang masuk ke dalam premis itu selamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia bertanggungjawab atas keselamatan orang awam yang masuk ke dalam premis.
“Oleh itu kita membuat pemeriksaan untuk memastikan jalan keluar yang ada di bangunan itu dalam keadaan baik supaya pengunjung merasa selamat untuk datang.
“Selain itu, sistem siren amaran kebakaran dan alat pemadam api turut diperiksa, agar ia berfungsi dengan baik sekiranya ada berlaku kecemasan atau sebaliknya,” jelasnya semasa ditemui media di sini semalam.
Beliau turut memaklumkan ada beberapa premis diberi teguran secara lisan dan notis amaran kerana tidak mematuhi piawaian keselamatan yang telah ditetapkan.
-ZS-