
Laporan/foto: Norshahira Mohd Nasir (Kota Bharu)
KOTA BHARU, 19 Apr (Malaysiaaktif) – Setiap kali tiba musim perayaan, daun palas sentiasa menjadi buruan ramai untuk membungkus ketupat palas sebagai juadah utama setiap kali hari raya.
Menyedari hakikat ini, Diana Abd Rahman, 54, dari Kampung Penambang Tumpat sanggup datang seawal 7.00 pagi ke Pasar Besar Siti Khadijah bagi menjual daun palas yang diperoleh daripada pencari daun berkenaan di sekitar Tumpat dan Pasir Mas.
“Alhamdulillah hampir 100 ikat daun palas dapat dijual dalam tempoh dua hari sejak semalam, dan seikat daun palas beharga RM 35 seikat” katanya ketika ditemui semasa menjual daun palas di Pasar Besar Siti Khadijah.
Dia yang mesra disapa Kakna berkata, pelanggan akan memilih jenis daun palas minyak, berbanding daun palas biasa kerana ketupat yang dibungkus aromanya sangat luar biasa.
“Daun palas minyak ini tahan lama dan pulut yang dimasak di dalam daun palas berbau wangi dan membangkitkan selera,” katanya kepada Malaysiaktif di sini, hari ini.
Sementara itu seorang pelanggan, Mah Mohammad, 50, berkata, setiap kali tiba musim perayaan, daun palas minyak akan menjadi pilihannya.
“Ketupat palas akan menjadi lebih lemak dan enak apabila bijak memilih daun palas yang berkualiti,” katanya.
-ZS-