Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus/Jeffrey Nian (Labuan)
LABUAN, 15 Apr (Malaysiaaktif) – Perbadanan Labuan (PL) amat menghargai sokongan pengamal media tempatan terhadap semua aktiviti yang dilaksanakan pihak berkuasa tempatan itu.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif (KPE) PL Rithuan Mohd Ismail, pengamal media tempatan selama ini banyak memberi sokongan kepada setiap penganjuran aktiviti PL serta membantu pihaknya menangani sebarang krisis atau isu yang terjadi di pulau itu.
“Pengamal media sangat memberikan komitmen yang baik kepada PL dan berharap media terus bersama PL dan jabatan kerajaan supaya hasrat kerajaan untuk melihat Labuan ini terus sejahtera dan membangun menjadi kenyataan,” jelasnya semasa berucap pada Majlis Iftar dan Ramah Mesra KPE PL Bersama Pengamal Media Labuan dan Pegawai Protokol PL di sini semalam.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Pegawai Protokol PL dan semua pihak yang membantu PL menyempurnakan beberapa acara-acara penting yang berlangsung di Labuan.
“Alhamdulillah kita berjaya melaksanakan beberapa program melibatkan tetamu kenamaan seperti Lawatan Turun Padang Tan Sri Ketua Setiausaha Negara dan kemuncaknya adalah Lawatan Rasmi Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong baru-baru ini.
“Berdasarkan titah Yang di-Pertuan Agong yang disampaikan Perdana Menteri kepada Ketua Pengarah Jabatan Wilayah Persekutuan, baginda gembira semasa berada di Wilayah Persekutuan Labuan,” kongsinya.
-ZS-p