Laporan/foto: Nadia Abdullah (Kluang)
KLUANG, 13 Apr (Malaysiaaktif) – Seramai 50 orang telah menyertai aktiviti mengacau bubur lambuk menerusi program Jalinan Insan Wahana Aspirasi (JIWA) di perkarangan Pejabat Pendidikan Islam Daerah (PPID) Kluang, semalam.
Program tersebut merupakan kolaborasi di antara Pejabat Penerangan Daerah Kluang bersama Persatuan Kebajikan Kakitangan PPID Daerah Kluang.
Pegawai Pendidikan Islam Daerah Kluang Mohd. Faiz Rohani, berkata program kolaborasi ini julung kali diadakan dan pastinya ia dapat mengeratkan hubungan silaturahim.
“Program ini juga turut menjadi wadah terbaik untuk meningkatkan kerjasama antara kedua-dua jabatan pada masa hadapan.
“Aktiviti mengedarkan bubur lambuk dapat mengimarahkan bulan Ramadan amat baik dalam meningkatkan amal ibadat pada bulan yang penuh keberkatan ini,” katanya.
Program dimulakan dengan aktiviti rewang menyediakan bahan masakan diikuti dengan proses memasak bubur lambuk bersama-sama.
Pegawai Penerangan Daerah Kluang Mohd. Sharir Mohd Sani turut hadir menyerahkan bahan penerbitan dan poster Malaysia Madani bersama bubur lambuk sebagai simbolik penganjuran program.
-ZS-