Laporan/foto: Parameswary Lekshmnan/Rahimah Rafiai (Kuala Lumpur)
KUALA LUMPUR, 28 Apr (Malaysiaaktif) – Langkah-langkah mitigasi dilaksana di kawasan tanah runtuh Bukit Tunku berhampiran Akademi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) di Persiaran Tunku Syed Sirajuddin di sini.
Menurut Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai, langkah pertamanya kerja pemasangan kanvas sudah pun dimulakan sejak 3.30 petang Rabu yang akan mengambil masa dua hari iaitu sehingga semalam.
Tujuan penutupan kawasan itu dengan kanvas adalah untuk mencegah aliran air meresap ke dalam tanah dan turun ke bawah.
Seterusnya, Jabatan Kerja Raya akan menanam cerucuk besi di sekitar lokasi tanah runtuh itu yang mana akan dilaksanakan dalam bentuk dua fasa secara berperingkat bermula 28 April ini.
Kata Beh, masih berlaku pergerakan tanah dan didapati runtuhan sudah masuk ke kawasan pagar menghampiri Gelanggang Tenis Institut Integriti Malaysia (IIM).
“Pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) akan memasang alat pengesan pergerakan tanah di 10 titik panas.
“Sekiranya berlaku pergerakan tanah, alat itu akan memberi isyarat kepada pihak JKR dan semua petugas dan individu yang berada di sekitarnya akan diarahkan berpindah atau beredar serta-merta,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat bersama pasukan teknikal berhubung tindakan susulan dalam kejadian tanah runtuh tersebut di IPD Sentul Rabu lalu.
Dalam pada itu, Beh juga menegaskan hasil mesyuarat itu mengekalkan dapatan siasatan awal bahawa punca kejadian tanah runtuh itu adalah disebabkan dua faktor, iaitu takungan air di bawah cerun dan kebocoran paip di bawah tanah.
Jabatan Penerangan Wilayah Persetuan Kuala Lumpur turut membuat hebahan melalui unit bergerak mengenai langkah-langkah keselamatan susulan kejadian tanah runtuh itu di kawasan sekitar Bukit Tunku.
-ZS-