Laporan/foto: Sunday Grace (Sabah)
SANDAKAN, 24 Mei (Malaysiaaktif) – Aiskrim ‘legend’ yang diwarisi turun-temurun ini telah bertapak selama 30 tahun menjadi ingatan kepada warga Sandakan.
Menurut Mitchell Lee Sheue ER, 36, pada mulanya mereka memulakan perniagaan kedai mesin fotostat namun mengambil langkah untuk menjual aiskrim kerana kedai mesin fotostat sudah terlalu banyak.
“Sebenarnya yang memulakan jualan aiskrim ini ialah ibu saya di mana beliau belajar cara membuat seterusnya mengubahsuai resepi aiskrim itu sendiri.
“Nama aiskrim ini adalah aiskrim asli susu tetapi lebih ramai orang memanggilnya sebagai aiskrim legend.
“Keistimewaan aiskrim ini adalah orang tua mahupun muda boleh menikmati aiskrim legend kerana rasanya yang tidak begitu manis dan lebih kepada rasa susu,” katanya ketika ditemui di Kedai Aiskrim, di sini baru-baru ini.
Sementara itu, pembeli, Mohd Fazhil Abdurasyi, 39, mereka sekeluarga memang membeli di kedai aiskrim kerana meminati rasa aiskrimnya dan harga yang dijual juga sangat berbaloi.
“Dari zaman sekolah menengah, saya mengetahui mengenai aiskrim legend dan sehingga hari ini saya membelinya untuk makan bersama anak-anak,” kongsinya.
-ZS-