Laporan/foto: Ismael Idris (Jasin)
ASAHAN, 10 Mei (Malaysiaaktif) – Seramai 23 orang bakal jemaah haji dan 60 orang pelajar cemerlang Ujian Penilaian Kelas Kafa (UPKK) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Asahan diraikan dengan menerima sumbangan wang tunai dan sijil yang disampaikan oleh Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dalam Majlis Rumah Terbuka DUN Asahan, kelmarin.
Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital Negeri Melaka merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Asahan Fairul Nizam Roslan mengucapkan tahniah kepada semua bakal jemaah haji kerana telah menerima tawaran untuk menunaikan ibadah haji pada tahun ini.
“Saya juga berharap agar sumbangan yang diberikan ini dapat membantu mereka serba sedikit semasa di sana dan saya berpesan agar dapat bersedia dari segi fizikal dan mental ketika menunaikan ibadah haji kelak, semoga mereka dipermudahkan segala urusan dan mendapat haji mabrur.
“Kepada adik-adik yang cemerlang dalam peperiksaan UPKK saya berharap agar mereka dapat mengekalkan kejayaan pada masa hadapan dan saya mendoakan anak-anak ini akan menjadikan seorang pemimpin yang berkarisma satu hari nanti,” ujarnya.
-ZS-