Laporan/foto: Mohd Suhaidi Mat Jusoh (Tanah Merah)
PASIR MAS, 6 Mei (Malaysiaaktif) – Penggunaan jentera dan mesin membajak yang canggih mampu meningkatkan pendapatan petani.
Ia juga merupakan satu revolusi moden ke arah meningkatkan hasil pertanian yang lebih baik.
Seorang pemandu mesin membajak di Mohd Shamimi Rifin, 31, dari Kampung Kutan, di sini berkata beliau mula bekerja sebagai pemandu mesin membajak sejak dari 17 tahun lalu.
“Kerja saya hanya memandu dan mengambil upah membajak padi dengan kadar upah RM2 satu guni dan sehari boleh mencecah 85 guni atau lebih, bergantung kepada keupayaan dan kemampuan,” katanya ketika ditemui di Kampung Padang Binjai Chetok.
Bapa kepada empat orang cahaya mata ini memberitahu aspek keselamatan perlu diutamakan kerana kemalangan boleh berlaku jika leka dan cuai.
“Memang bahaya namun jika ikut peraturan ditetapkan semuanya selamat dan berjalan lancar,” ujarnya.
Mesin pembajak padi adalah milik Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) dan syarikat persendirian untuk membantu golongan pesawah menuaikan hasil padi ke arah yang lebih menguntungkan.
Pembantu beliau Mohd Izzat Aiman Mat Azid, 24, dari Tendong amat bersetuju dan sependapat dengan kenyataan ini.
“Saya bantu dan ikut arahan yang diberikan, sekurang-kurangnya dapat belajar dan pengalaman macam mana mengendalikan mesin membajak ini,” katanya.
-ZS-