Laporan/foto: Farzliana Abdul Ghaffar/Azmi Omar
BACHOK, 19 Mei (Malaysiaaktif) – Majlis Penutup Program Jom Masuk Kampung dan Sambutan Hari Pendidik KEMAS Peringkat Negeri Kelantan Tahun 2023 di Dataran KRT Kampung Kubang Telaga, Bachok anjuran Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Negeri Kelantan disambut meriah dengan kehadiran seramai 1,000 orang tetamu.
Menurut Ketua Pengarah KEMAS Malaysia Ahmad Kamal Idris Mohd Nawawi, program sebegini dapat mengerat dan memperkukuh hubungan silaturahim di antara pihak KEMAS dan juga meningkatkan pemahaman masyarakat terhadap peranan pendidik KEMAS terutamanya dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak, pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), pembangunan komuniti dan kemahiran usahawan rintis.
“Sumbangan para pendidik KEMAS yang berada di akar umbi sangat disanjung tinggi di mana setakat hari ini jumlah kanak-kanak tabika di negeri Kelantan adalah seramai 17,078 orang dan taska seramai 505 orang,” katanya.
Presiden Wawasan Bachok Gemilang Datuk Yusri Che Noh dalam ucapan perasmian beliau mengucapkan terima kasih di atas penganjuran program Jom Masuk Kampung tersebut dan berharap kerjasama sebegini akan diteruskan pada masa hadapan seiring dengan peranan KEMAS dalam hal ehwal kemajuan masyarakat.
Pada majlis tersebut seramai 13 orang wakil pendidik mengikut bidang diraikan sempena hari pendidik KEMAS Negeri Kelantan selain daripada pertandingan reruai jamuan Aidilfitri, pertandingan memancing, rewang hidangan Aidilfitri di samping acara sampingan seperti pameran dan jualan, pemeriksaan kesihatan dan tazkirah.
Turut hadir Pengarah KEMAS Negeri Kelantan Hashim Alang Abdul Hamid, Penolong Pengarah Kanan Pendidikan Awal Kanak-Kanak KEMAS Kelantan Che Siti Nuradliza Mahmud dan Penolong Pengarah Kewangan KEMAS Kelantan Siti Normah Nawi.
-ZS-