Laporan/foto: Zayana Isa/Ihsan Glamz Studio (Pahang)
TEMERLOH, 18 Mei (Malaysiaaktif) – Merakam gambar kenangan sempena Syawal di studio kini menjadi pilihan ramai.
Menurut Mohd Hafidzul Halif, 42, beliau tidak menyangka sambutan yang diterima amat menggalakkan dan di luar jangkaan.
“Kami mula mempromosikan khidmat fotografi di studio bermula Ramadan, dan tempahan slot penggambaran yang diterima termasuklah pada Hari Raya pertama hingga ketiga telah penuh sejak tempahan mula dibuka,” katanya yang mengusahakan studio ini bersama sahabatnya.
Menceritakan idea untuk mengetengahkan konsep studio foto ini, Hafidzul memberitahu idea ini dicetuskan oleh sahabatnya apabila beliau melihat ramai rakan dan kenalan tertarik dengan dekorasi ruang, pokok hiasan dan mengumpul perabot unik.
Maka, bertitik-tolak dari situ, idea membawakan konsep studio foto dengan dekorasi yang menarik dan kreatif mula diperkenalkan.
“Studio kami mula beroperasi pada Aidiladha tahun lalu, dan ketika itu kami hanya menerima tempahan daripada empat orang pelanggan sahaja kerana faktor masa dan persediaan yang singkat.
“Alhamdulillah, tahun ini kami menerima tempahan sebanyak tiga hingga empat pelanggan untuk sehari,” ujarnya lagi yang turut merancang untuk membesarkan ruang studio yang boleh memuatkan lebih ramai pelanggan semasa sesi penggambaran.
-ZS-