Laporan/foto: Sunday Grace Justimus/ Berry Taimin (Sabah)
TUARAN, 3 Mei (Malaysiaaktif) – Kraftangan ‘Rinago’ sejenis anyaman yang banyak dihasilkan oleh suku kaum Rungus di Daerah Kudat dan dikenali sebagai ‘Lingkong’ dalam bahasa Rungus.
Menurut usahawan yang berasal dari Kudat, Farnie Loboi, 53, beliau mula mempelajari teknik anyaman ‘Rinago’ sejak kecil dan merupakan warisan turun-temurun daripada nenek moyangnya.
“Sejak kecil saya belajar menganyam ‘Rinago’ malah teknik anyaman kraftangan ini juga saya turunkan kepada anak-anak agar mereka dapat meneruskan legasi pembuatan kraftangan ini”, kongsinya ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah, di sini baru-baru ini.
“Anyaman ‘Rinago’ menggunakan bahan mentah dari hutan seperti ribu-ribu atau nama saintifiknya ‘Lygodium’ sejenis tumbuhan paku pakis yang menjalar dan tumbuh di kawasan belukar.
“Ribu-ribu akan dianyam bersama rotan atau buluh bagi menghasilkan produk kraftangan seperti alas pinggan, alas gelas, bakul bekas makanan, bekas buah dan sebagainya,” katanya.
Tambahnya, produk kraftangan tersebut mendapat sambutan dari Semenanjung khususnya peminat kraftangan elemen Sabah malah promosi kraftangan ‘Rinago’ turut diadakan di luar negara iaitu di Dongchuan, China.
-ZS-