Laporan/foto: Siti Rosliza Ibrahim/Badarudin Shuib (Klang)
KLANG, 1 Mei (Malaysiaaktif) – Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj diiringi DYMM Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin telah berkenan mencemar duli menghadiri Rumah Terbuka Jelajah Kita Selangor Aidilfitri Peringkat Daerah Klang, di sini baru-baru ini.
Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari yang hadir turut menzahirkan rasa syukur dan terima kasih atas kehadiran Sultan Selangor.
“Patik menzahirkan rasa terima kasih kepada DYMM Sultan Selangor dan DYMM Permaisuri Selangor atas kesudian mencemar duli hadir ke majlis ini,” katanya.
Klang merupakan lokasi ketiga sempena Jelajah Kita Selangor Aidilfitri yang berlangsung di Padang Taman Sri Kerayong, Kapar dengan kehadiran 10,000 tetamu.
Padang yang basah dan becak tidak menghalang masyarakat untuk hadir menyambut kehadiran Tuanku Sultan dan Permaisuri.
Pelbagai menu raya telah dihidangkan antaranya lemang, rendang, satay, lontong, apam balik, bihun sup dan lain-lain.
Tuanku turut menyampaikan duit raya kepada kanak-kanak yang hadir sebelum keberangkatan pulang.
-ZS-