Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurTerengganu

TDM Pelopor Industri Janakuasa Biogas di Terengganu

By 29 Mei 2023Tiada komen1 minit bacaan

Laporan/foto: Mohd Sukri Ibrahim (Kemaman)

KEMAMAN, 29 Mei (Malaysiaaktif) – TDM Berhad melalui anak syarikat milik penuhnya TDM Plantation Sdn. Bhd. meneruskan usaha dalam menghijaukan operasi perniagaannya dengan menjadi perintis industri janakuasa biogas.

Projek bernilai hampir RM50 juta ini terdiri daripada dua loji Biogas yang menggunakan sistem lagun tertutup di Kilang Minyak Sawit Kemaman dan Sungai Tong milik TDM.

Kedua-dua kilang tersebut berpotensi menghasilkan sejumlah 29,784,000 kWj tenaga boleh diperbaharui pada setiap tahun.

“TDM komited dalam mencari ruang untuk mempertingkatkan kualiti perniagaan dan pada waktu yang sama berusaha untuk memastikan kelestarian alam sekitar terjamin,” kata Pengerusi TDM Tengku Datuk Farok Hussin Tengku Abdul Jalil.

“Seiring dengan misi syarikat dalam menukarkan ‘waste to wealth’, kami membuat keputusan untuk menggunakan peluang dan sumber yang kami sedia ada dengan memanfaatkan sisa buangan terutamanya daripada kilang-kilang kami bagi menjana tenaga boleh diperbaharui sekali gus menyokong usaha kerajaan untuk mengurangkan kebergantungan terhadap tenaga tidak boleh diperbaharui,” tambahnya.

Sultan Terengganu Duli Yang Maha Mulia Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin ibni Almarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah berkenan menyempurnakan perasmian loji Janakuasa Biogas yang merupakan hasil usahasama di antara TDM dan Concord Group di Loji Janakuasa Biogas Kampung Padang Kubu, di sini semalam.

Turut hadir Pengarah Eksekutif TDM Najman Kamaruddin dan Pengerusi Eksekutif Concord Group, Tan Sri Datuk Seri Mohd Hussin Abd Hamid.

-ZS-

Tinggalkan komen anda