Laporan/foto: Sheikh Mohamed Nazim Kadir/Norhasliza Hamzah (Segamat)
SEGAMAT, 20 Jun (Malaysiaaktif) – Sebanyak 16 pasukan yang terdiri daripada 77 orang pelumba Institut Pengajian Tinggi (IPT) seluruh Malaysia telah menyertai Perlumbaan Le Tour de IPT (LTdIPT) 2023 Peringkat Pertama sejauh 96.4 kilometer dari Kolej Komuniti Segamat ke Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), baru-baru ini.
Menurut Pegawai Kolej Komuniti Segamat, Ibrahim Mohd Arif, 36, beliau berasa teruja kerana program-program seperti ini mampu memberi galakkan kepada golongan pelajar IPT untuk mengamalkan gaya hidup sihat.
“Saya berharap program seperti ini dikekalkan dan diperbanyakkan lagi supaya masyarakat kita dapat mengamalkan gaya hidup sihat,” katanya.
Pelepasan perlumbaan anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) itu telah disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Badan Negeri Johor Datuk Zahari Sarip.
Turut hadir adalah Menteri Kesihatan Dr. Zaliha Mustafa, Pentadbir Tanah Segamat Mohd Helmi Sha’ri, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Segamat Ungku Mohd Tahir, Ketua Penolong Setiausaha Syeksen Sukan KPT Tony Azman Hassan dan ketua–ketua jabatan.
-ZS-