Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahSelangor

PSA Cipta Alat Bantu Mengajar dan Permainan Braille

By 20 Jun 2023Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)/PSA

PUTRAJAYA, 20 Jun (Malaysiaaktif) – Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PSA) berjaya menghasilkan alat bantu mengajar (ABM) Panduan Fardu Ain dan permainan ‘Sozler Braille’ untuk kegunaan kanak-kanak dan pelajar kelainan upaya (OKU) penglihatan.

Produk yang dipercayai pertama kali dihasilkan itu dibangunkan oleh sekumpulan pensyarah dan pelajar PSA dengan kerjasama Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS) dan Sekolah Kebangsaan Putrajaya Presint 18 (1).

Pengarah PSA Dr Norhayati Zakaria, berkata idea menghasilkan produk tersebut tercetus apabila menyedari ABM dan permainan bagi golongan berkenaan sangat terhad khususnya berkaitan pendidikan Islam.

“Ini salah satu program tanggungjawab sosial korporat (CSR) kami melalui projek inovasi dan kolaborasi bersama industri untuk kegunaan komuniti di samping turut memartabatkan pendidikan Islam serta tulisan jawi dalam kalangan OKU penglihatan.

“PSA akan memperluas fungsi alat ini dan menambah baik mengikut kesesuaian pada masa akan datang,” katanya yang ditemui selepas Majlis Penyerahan Braille Panduan Fardu Ain dan Sozler Braille kepada Sekolah Kebangsaan Putrajaya Presint 18 (1), di sini semalam.

Turut hadir Guru Besar Sekolah Kebangsaan Putrajaya Presint 18 (1) Rozi Hassan, Pengerusi Operasi PERTIS Zamzuri Ghani, Timbalan Pengarah Akademik PSA Ts Dr Ahmad Aftas Azman dan Timbalan Pengarah Sokongan Akademik PSA Mohd Mubarak Shamsuddin.

Sementara itu, Penolong Kanan Pendidikan Khas Sekolah Kebangsaan Putrajaya Presint 18 (1) Ahmad Bustamam Mohd Ali, berkata pihaknya sangat mengalu-alukan inisitif yang diambil khususnya dalam membantu pembelajaran para pelajar OKU penglihatan.

“Alat ini sangat bagus dan sukar ditemui, jika ada pun sangat mahal kerana kebanyakkannya dihasilkan di luar negara.

“Di Malaysia jarang nak jumpa untuk OKU buta kerana kebanyakkan orang buat untuk keuntungan tetapi PSA buat kerana CSR bantu OKU,” ujarnya.

-ZS-

Tinggalkan komen anda