Laporan/foto: Hanizatul Azwa/Muhamad Amsyar (Hilir Perak)
TELUK INTAN, 16 Jun (Malaysiaaktif) – Pengunjung yang datang ke sini sudah pastinya tidak akan melepaskan peluang untuk membeli dan merasai keenakan ‘Biskut Tiger Head Brand’ yang menjadi tarikan istimewa dan kebanggaan penduduk Teluk Intan.
‘Biskut Tiger Head Brand’ ini adalah sejenis kuih kering yang dibakar dan mempunyai inti di dalamnya.
Mula beroperasi pada 1960, kilang pengeluar biskut Sin Joo Heong Confectionery Sdn Bhd sering dikunjungi pembeli yang meminati biskut keluarannya selain turut dibeli sebagai buah tangan dan cenderamata.
Pengurus Lee Joo Heng, 56, generasi kedua perniagaan biskut ini, menyatakan perniagaan yang diwarisi dari ayahnya itu bermula hanya secara kecil-kecilan sehingga kini dikenali dan masih mengekalkan tradisi lama.
“Logo kepala harimau yang menjadi pilihan syarikat kami telah diinspirasikan oleh bapa saudara saya yang meminati lukisan seni halus.
“Terdapat tiga jenis biskut yang menjadi pilihan utama pengunjung iaitu pastri teratai telur, pastri sambal udang kacang hijau dan pastri durian kacang hijau di samping pelbagai lagi pilihan menarik yang lain,” katanya.
Kedai biskut ini juga telah membuka tiga cawangan lain di Kuala Lumpur pada 2000, Ipoh (2011) dan Pulau Pinang (2015).
-ZS-