Laporan/foto: Mohd Shaharudin Suratman (Seremban)
SEREMBAN, 29 Jun (Malaysiaaktif) – Sempena Hari Raya Aidiladha yang disambut pada hari ini, pelaksanaan Program Ibadah Korban di Masjid Imam Haji Kahar Rantau, di sini menjadi wadah dalam memupuk semangat madani dalam kalangan komuniti setempat.
Petugas sukarelawan program, Mohd Yazid Jabbar, berkata program berjalan dengan semangat ukhuwah dan kerjasama yang erat di antara ahli jawatankuasa masjid dan sukarelawan yang bertugas.
“Seramai 50 orang petugas sukarelawan terlibat bagi membantu pihak masjid menjalankan ibadah korban pada tahun ini yang melibatkan tugas melapah dan mengagihkan daging korban.
“Saya pula ditugaskan untuk memasak lauk-pauk bagi hidangan tengah hari semua petugas serta hadirin yang hadir,” katanya.
Menurutnya, program melibatkan seramai 77 orang peserta bagi 11 ekor lembu korban dan 377 orang penerima sumbangan daging korban.
-ZS-